“Kalau betul engkau anak kandung aku,
minum susu dari badan aku…aku sumpah
akan keluar balik susu dari mulut engkau!”
Itulah kata-kata sumpahan yang ditujukan
ibu kepada saya. Sejak hari itulah saya jatuh sakit. Susu sentiasa
meleleh dari mulut saya tanpa henti.
Tubuh saya yang dahulunya agak comel
jadi kurus melidi tak ubah seperti mayat hidup. Saya terbaring dan
menyesali perbuatan lampau saya terhadap ibu.
Tetapi sejahat mana pun seorang anak,
ibu tetap mengambil berat sewaktu saya terlantar. Ibu juga risau melihat
keadaan saya, hari demi hari semakin teruk.
Ibu serba salah dan tidak tahu apa yang
patut dilakukan untuk membantu saya. Ibu juga memberitahu saya, menyesal
menyumpah saya. Ibu tidak menyangka begitu kuat sumpahan seorang ibu.
Waktu itu hanya tuhan yang tahu betapa
seksanya termakan sumpah seorang ibu. Sebulan saya merana kerana sakit.
Sebulan itu juga saya tidak makan nasi.
Saya langsung tidak ada selera untuk
makan nasi. Biarlah saya lapar begini daripada merana seperti ini.
Setiap saat, susu sentiasa mengalir dari mulut saya tanpa mengira masa…
Saya masih ingat , kejadian itu berlaku
ketika tiga orang rakan saya datang ke rumah. Sambil berborak, ibu
bertanya kepada mereka. “Kamu ni kerja apa?” Tanya ibu kepada
rakan-rakan saya.
“Kami semua kerja kilang kat hujung
kampung ni mak cik,’ jawab tiga rakan saya. Ibu terdiam lalu pergi
keruang tamu dan duduk di kerusi. Saya buat tidak kisah dengan fiil ibu
dan terus ke dapur membuat air untuk di hidang. Waktu itu saya masih
ingat saya buat air Milo panas.
Sebaik siap , saya bawa air di dalam
teko itu keruang tamu. Tapi, belum sempat meletakkannya di atas meja,
ibu terus mengherdik saya.
“Kalau hari-hari engkau hidang air bagi
orang makan percuma larilah perbelanjaan kita! Dah, hentikan. Simpan
balik air tu!” herdik ibu kepada saya.
Saya merasa malu. Kawan saya semua
terdiam kerana merasa terkejut dengan sikap ibu. Saya beritahu ibu
supaya jangan berbuat begitu di depan kawan-kawan. Malu!
Sepatutnya ibu harus bersyukur ke hadrat
Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya di beri rezeki melimpah-ruah dan
kami sekeluarga tidak lagi perlu kais pagi makan pagi.
Saya tidak setuju dengan perangai ibu
menghina orang miskin. Sebaliknya rakan-rakan yang setaraf atau lebih
kaya dari kami dilayannya seperti raja. Mereka diajak datang kerumah dan
dihidangkan dengan pelbagai makanan sedap-sedap. Saya betul-betul malu
dan terkilan dengan sikap buruk ibu.
Saya ingatkan ibu, dulunya kami
sekeluarga pun susah seperti mereka juga. Setelah hidup senang, kita
herdik-herdik mereka. Apa perasaan mereka apabila ibu buat begitu?
“Ah! Kau apa tau? Bukan kau yang cari
duit ! Aku ni yang susah payah cari duit siang malam, kau senang-senang
saja nak menghabiskan!” tambah ibu lagi.
Ketika itu saya seperti orang hilang
akal. Saya tidak dapat terima cara ibu memarahi saya di depan
kawan-kawan. Tidak semena-mena tangan saya yang sedang memegang teko air
Milo panas dihayun lalu tersimbah ke muka ibu.
Ibu melolong-lolong menjerit kesakitan
terkena simbahan air Milo panas. Saya mula menyinga. Kawan-kawan
terkejut dengan tindakan saya dan cuba menenangkan saya. Tetapi ketika
itu saya bagai dirasuk syaitan. Tanpa sedar, saya terus berlari ke dapur
mengambil sebilah pisau pemotong sayur.
Sekali lagi kawan dan ayah saya menahan
perbuatan saya. Mereka memegang saya dengan sekuat hati. Ibu berlari dan
keluar ke pintu depan rumah takut ditetak pisau di tangan saya. Ibu
berdiri tercegat di situ. Saya pula terjerit-jerit seperti terkena
hysteria.
Disinilah bermulanya episod duka dalam sejarah hidup saya apabila ayat ini terpancul dari mulut ibu.
“Kalau engkau betul anak kandung aku, minum susu dari badan aku, aku sumpah akan keluar balik susu dari mulut engkau!”
Selepas keadaan reda sedikit,
rakan-rakan balik rumah. Tiga hari selepas kejadian itu, saya terus
jatuh sakit. Saya di serang demam teruk. Ayah bersusah payah menjaga
saya. Ibu hanya buat-buat tidak tahu sahaja. Mungkin ibu masih lagi
geram dan marah dengan tindakan saya. Ketika itulah berlaku satu
kejadian pelik yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.
Tiba-tiba air susu berwarna putih dan
berbau busuk mula meleleh dari mulut saya tanpa henti. Air susu masam
itu jatuh membasahi dagu saya setiap detik tanpa henti.
Ayah juga merasa hairan melihat susu
aneh tiba-tiba meleleh dari mulut saya. Setiap kali dikesat, air susu
itu meleleh lagi tanpa henti. Ibu pula masih tidak endahkan saya.
Keesokan harinya saya masih lagi demam dan susu masih lagi mengalir. Kali ini lebih teruk. Ayah membawa saya ke sebuah klinik.
Anehnya selepas diperiksa, doktor juga
mengatakan hairan, mengapa susu masam itu meleleh dari mulut saya.
Doktor pun tidak dapat menjelaskan punca dan sebab saya mengalami
penyakit aneh ini. Doktor juga mengatakan tiada ubat untuk merawat
penyakit yang saya alami ini.
Ayah bawa pula saya ke hospital besar di
Bandar. Keputusannya tetap sama juga apabila doktor tidak dapat
mengenal pasti punca penyakit saya. Jadi saya dibawa pulang semula dan
terbaring siang malam. Selama sebulan saya terlantar ibu mulai risau
dengan keadaan saya yang semakin kurus ini. Ibu beberapa kali meminta
maaf kepada saya kerana tidak menyangka kata-kata yang dilafazkannya
betul-betul menjadi kenyataan.
Akhirnya ibu sendiri pergi berjumpa
dengan seorang ustaz di kampong saya. Ustaz ini memang dikenali ramai
kerana kealiman dan kehebatan ilmunya. Ibu membawa ustaz ini berjumpa
saya di rumah. Apabila ustaz melihat keadaan saya, beliau terus
menggeleng-gelengkan kepala.
“Ada tak apa-apa yang ibu kamu buat
sebelum terkena penyakit ini?” Tanya ustaz itu. Ayah lalu menceritakan
tentang perbuatan saya menyimbah air panas ke muka ibu. Selepas itu, ibu
terus mengeluarkan kata-kata sumpahan tentang air susu yang pernah di
minum ketika saya masih bayi.
Sekali lagi ustaz itu
menggeleng-gelengkan kepalanya. Ustaz itu dalam nada perlahan
memberitahu saya terkena sumpahan ibu. Ustaz itu lalu mengajak ibu dan
ayah saya ke dapur.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya
tidak ada ubatnya kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan
tapak kaki ibu. Ustaz itu menyuruh ibu membasah kedua-dua tangannya di
dalam baldi diikuti kedua-dua belah kakinya seperti orang mengambil
wuduk.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya tidak ada ubatnya
kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki ibu.
Setelah selesai, ustaz itu menyuruh ibu
meludah di dalam baldi itu sebanyak tiga kali. Kemudiannya air ludah di
dalam baldi itu disimpan di dalam sebuah bekas khas. Utaz itu berpesan
kepada ibu supaya memberi air ludah itu untuk diminum oleh saya dan
selebihnya disapu di ubun-ubun kepala saya sehingga habis.
Selepas ibu memberi minum dan menyapu
air ludah itu di kepala, pada masa itu juga saya terus merasa lapar dan
meminta nasi untuk dimakan. Selera saya yang tersekat selama sebulan
lebih datang kembali. Mujarab sungguh cara rawatan ustaz ini. Serta
merta air susu masam yang meleleh sejak sebulan lalu berhenti mengalir.
Saya mencium kaki ibu. Saya menangis.
Saya menyesal berdosa kepada ibu. Ibu memberitahu sejak kejadian, ibu
telah memafkan perbuatan saya. Ibu memeluk saya dan kami
bertangis-tangisan di depan ustaz. Ustaz itu membacakan doa dan
menasihati ibu supaya tidak mengeluarkan kata-kata sumpahan terhadap
anak. Ustaz itu mengingatkan bahawa sumpahan seorang ibu amat ampuh dan
berkesan terhadap seorang anak. Akibatnya sangat buruk dan tiada
penawarnya kecuali anak itu diberi ampun selain meminum air kaki dan
tangan ibunya dengan ikhlas dan redha.
Sejak hari itu, saya tidak lagi
meninggikan suara kepada ibu. Ibu juga sedar kesilapan yang telah
dilakukan sebelum ini. Yang paling penting, ibu tidak lagi sesombong
dahulu! Ibu juga tidak kedekut dan suka menghina orang susah.
Saya ingin berpesan kepada pembaca,
jangan sesekali bertindak biadab terhadap ibu biar sejahat mana
sekalipun ibu kita. Saya sudah merasai betapa sengsara, merana dan
terasa ajal hendak tercabut akibat disumpah ibu. Ingat, sumpahan seorang
ibu itu adalah benar kerana ianya telah benar-benar menimpa keatas diri
saya sendiri.
‘Saya’ dalam artikel ini adalah
Roseyatimah bt Ahmad, berasal dari Sabah. Kejadian berlaku ketika beliau
berusia di awal remaja. Kini beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur.
Walaupun berjauhan, Rose tetap sayang dan menghormati ibunya.